Thursday, February 19, 2009

Minda: Menangani krisis pembuangan pekerja

Assalamualaikum wbt.

Di kelas Pengajian Am hari ini, 19hb Feb 2008 saya telah diberitahu oleh Cikgu Syukri utk meluaskan pencarian sumber mengenai cara bagi mengurangkan bilangan pengangguran di Malaysia dgn melawat laman web Kementerian Sumber Manusia (http://www.mohr.gov.my). Disini saya ingin berkongsi ilmu dgn pembaca sekalian tentang permasalahan yang berlaku. Petikan daripada Harian Metro, Rabu, 21 Januari 2009.

AINI (bukan nama sebenar) merenung ke luar jendela. Dari tingkat 13 pangsapuri yang didiaminya, jelas menara berkembar Petronas begitu gah tersergam. Dari jendela itu juga dia dapat melihat panorama indah bandar raya Kuala Lumpur, kota yang menyimpan seribu kisah suka duka penghuninya.

Anak gadis berusia lewat 20-an itu sebenarnya resah. Dia sudah bekerja beberapa tahun dengan sebuah cawangan institusi kewangan antarabangsa bimbang akan kehilangan pekerjaan.

Sudah terdengar desas-desus pemberhentian kerja meskipun perkataan yang akan digunakan kedengaran lembut iaitu skim pemisahan sukarela (VSS).

Ini menjadikan Aini makin gelisah. Kedatangan 2009 disambut longlai tidak seceria tahun sebelumnya.

Aini sebenarnya bukan keseorangan. Ramai pekerja lain dijangka menerima nasib malang kehilangan mata pencarian tahun ini.

Ekonomi dunia merudum dijangka memberi impak buruk kepada banyak syarikat, menjadikan 2009 tahun amat sukar!

Pelbagai pihak menjangka impak krisis ekonomi global akan menjadi semakin ketara tahun ini. Kebimbangan ini sebenarnya sudah diuar-uarkan sebelum tahun baru lagi.

Iklim muram ekonomi dunia membuatkan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dilaporkan baru-baru ini membuat unjuran sehingga 25 juta orang dijangka diberhentikan kerja di seluruh dunia menjelang 2010.

OECD yang meliputi 30 negara, termasuk semua negara perindustrian dunia, turut membuat unjuran pemulihan ekonomi akan berlaku pada akhir 2009 dan pertumbuhan lemah pada 2010!

Sebelum ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dilaporkan membuat unjuran bilangan pengangguran global dijangka meningkat sehingga 20 juta untuk mencecah paras tertinggi 210 juta orang menjelang akhir 2009.

Situasi suram turut dijangkakan dalam sektor pekerjaan tempatan dengan jangkaan pemberhentian pekerja menjadi serius tahun ini.

Lebih 4,700 pekerja tempatan pelbagai sektor dijangka diberhentikan dalam tempoh tiga bulan pertama 2009. Ini sebagai langkah persediaan majikan mengurangkan kos dan kerugian dalam menjangka krisis ekonomi global bertambah teruk tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam memberitahu media baru-baru ini, 102 majikan mengemukakan laporan kepada pihaknya untuk memberhentikan pekerja mereka secara berperingkat mulai Januari ini.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pula dilapor menganggarkan 200,000 hingga 400,000 pekerja akan hilang pekerjaan tahun ini.

Bagi 1,500 pekerja Western Digital (M) Sdn Bhd di Zon Perindustrian Bebas Samajaya, Sarawak, mereka boleh dikatakan antara kumpulan awal menerima kejutan pahit sebelum menjelang tahun baru 2009.

Syarikat pembuat cakera keras yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu bertindak menutup operasinya dengan alasan beban kegawatan ekonomi.

Pekerja asing juga dijangka tidak terkecuali daripada tindakan pemberhentian kerja ini. Dr S Subramaniam dilaporkan memberitahu 2,000 pekerja asing dijangka diberhentikan dalam tempoh dua bulan ini.

Di sebalik kemelut ekonomi yang berterusan, diharap majikan akan hanya membuat pemberhentian pekerja sebagai langkah terakhir dalam menangani krisis berkenaan.

Ini turut disuarakan Dr S Subramaniam ketika melancarkan buku Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Johor di Johor Bahru pada Disember 2008.

Beliau turut melancarkan Bilik Gerakan Pemberhentian Pekerja yang dibuka di seluruh negara. Pekerja yang mengalami masalah boleh membuat aduan ke bilik gerakan dengan menelefon talian 03-88905015/ 88905016/ 88905017/ 88905018 pada waktu pejabat.

Antara langkah awal yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja, termasuk mengurangkan tuntutan kerja lebih masa, cuti, jangka masa kerja serta gaji.

Dalam masa sama, kerajaan diharap memantau perkembangan supaya tidak ada majikan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan membuang pekerja dengan berselindung di sebalik alasan krisis ekonomi.

Nasib pekerja yang diberhentikan diharap tidak menjadi seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ apabila majikan mengabaikan kebajikan mereka tanpa memberi pampasan atau faedah penamatan kerja yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan undang-undang di negara ini.

Sebarang langkah pemberhentian pekerja secara sukarela atau sementara perlu dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tindakan pemberhentian.

Dalam ketika pekerja tempatan menghadapi risiko diberhentikan kerja, mungkin ada yang menuding jari ke atas lambakan pekerja asing di negara ini. Apakah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan?’

Dilaporkan sekitar 1.2 juta pekerja asing di Malaysia, iaitu kira-kira 20 peratus daripada jumlah pekerja negara ini.

Kementerian Sumber Manusia bagaimanapun dilaporkan baru-baru ini sedang menimbang untuk membekukan pengambilan pekerja asing.

Ini dilihat sebagai langkah membantu pekerja tempatan yang kehilangan mata pencarian termasuk mereka yang bekerja di Singapura.

Dilaporkan kira-kira setengah juta pekerja di Singapura berdepan kemungkinan diberhentikan termasuk pekerja dari Malaysia.

Sehingga November 2008, dilaporkan 28,000 penganggur mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja dan 6,000 dilaporkan memperoleh pekerjaan.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, ini bukan bermakna kegelapan hidup buat selama-lamanya.

Kerajaan sudah membuat pengumuman akan bekerjasama dengan institusi awam dan swasta berkaitan untuk menyediakan program latihan semula bagi membantu mereka yang diberhentikan kerja.

Di bawah program itu, pekerja yang diberhentikan kerja akan dilatih untuk menguasai kemahiran baru bagi mengisi kekosongan kerja dalam bidang yang belum pernah mereka ceburi.

Antara bidang itu ialah perkhidmatan pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kabinet dilaporkan meluluskan RM100 juta untuk melatih semula mereka yang diberhentikan kerja.

Dalam hal ini, pekerja terbabit hanya perlu bersikap terbuka dan mempunyai iltizam untuk menerima sebarang perubahan. Mereka juga tidak boleh lagi bersikap terlalu memilih kerja.

Malah mereka juga boleh meneroka bidang keusahawanan menerusi pelbagai insentif yang disediakan kerajaan.

Antara program usahawan ialah dipelopori Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu RM45 juta diperuntukkan bagi melahirkan lebih ramai usahawan desa sepanjang tahun ini.

Dalam hal ini, mereka boleh menjadikan Mohammed Chin, 63, yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Usahawan Tunas Mekar 2008 (kategori lelaki) sebagai contoh.

Meskipun hilang sebelah tangan akibat kemalangan, Mohammed tidak menjadikan kecacatan sebagai halangan untuk beliau berusaha sehingga menjadi usahawan berjaya.

No comments:

Post a Comment